ASSALAMUALAUKUM..

Rabu, 13 April 2011

Kesempitan Dalam Membuat Keputusan

Payah. Susah. Rumit. Celarunya sebuah hidup. ya, biarpun sedemikian segalanya harus kita tempuhi.Tiada siapa yang mahu hadir dalam kehidupan seseorang untuk dibenci, dimusuhi malah untuk didendami. Tapi bila kejadian ini terjadi, harus terima segalanya dengan redha dan ikhlas.

Menyusuri hari yang cerah, tentu tidak mendatangkan masalah buat kita, tapi bila menyusuri hari yang mendung, malah hujan beserta guruh dan petir tentunya membawa kegusaran yang tiada tandingnya. Begitu jua hidup ini, terkadang mudah dan adakalanya terasa sukar dan payah. Namun, sedarkah kita ada kuasa yang tiada taranya yang menguasai segala-galanya. DIA yang mengatur sekalian semesta tanpa kecelaruan malah sentiasa saja berputar siang dan malam.

Kita sentiasa mahukan apa yang kita mahu. Kita suka apa yang kita suka. Kita cinta apa yang kita cinta. Kita buat apa yang kita mahu buat. Tetapi ingatlah ada kuasa yang memiliki kita. Ada hisab yang bakal kita jalani atas apa yang kita perbuat. Ada azab yang akan menimpa jika kita salah perhitungan dan meninggalkan apa yang disuruhnya. Dalam setiap apa yang kita lakukan jangan lupa untuk meminta “campur tangan ALLAH” agar apa yang kita lakukan bukan sekadar mengikut kehendak dan naluri kita seadanya.

Terkadang kita tersangat mahu apa yang kita impikan, kita angankan malah selalu kita sematkan dalam dada. Namun, kita tidak mendapatkannya. Kita sering saja gagal dalam mengejarnya. Kesudahannya, kita kecewa, sengsara malah kita bagai terasa jauh hati. Tapi untuk apa? Life must go on. Tiada gunanya berterusan mengejar sesuatu yang belum pasti. Gapailah apa yng terbuka di ruang mata. Jangan terlalu mengharap apa yang jauh dari jangkauan. “ Apa yang kita rasakan baik belum tentu baik untuk kita begitu juga sebaliknya”.

Apabila kita tidak mendapatkan apa yang kita sukai maka sukailah apa yang kita dapati. Kata-kata ini sungguh membekas dijiwa. Ya, ada benarnya. Tentu apabila kita menyukai seseorang dan akhirnya orang itu menjadi milik orang lain, kita akan rasa kecewa. Tapi sedarlah, memang dia bukan milik kita. Memang dia diciptakan bukan hidup bersama kita dan memang dia hanya sekadar boleh menjadi impian kita dan bukannya kenyataan bagi kita. Oleh itu, sedarilah bahawa tidak selalu apa yang kita inginkan kita akan dapati Tidak selalu apa yang kita hajati akan menjadi kenyataan yang pasti.

Yang pasti, jangan pula kita mengambil jalan singkat dengan berputus asa. Masih ada jalan yang dinamakan usaha. Masih ada cara yang dapat kita fikirkan. Ruang dan peluang begitu luas. Hanya kita, hanya kita yang tidak mahu merebutnya. Tanyakanlah pada yang berpengalaman, mereka tentu banyak cerita yang boleh dikongsikan. Tentu mereka sudah banyak ilmu didada yang boleh dicurahkan.

Akhir sekali, usah pertikai apa yang tidak kita dapatkan. Kenapa aku tidak boleh? Kenapa aku yang begini? Kenapa aku yang begitu? Jua terkadang bila ditimpa ujian yang berterusan kita jadi menyalahkan takdir. Mengapa aku yang selalu diuji? Bukankah pernyataan ini menyanggah kalam Tuhan yang menyatakan tidak akan masuk syurga sebelum kamu diuji sebagaimana orang-orang terdahulu diuji. Kedudukan dan darjat kita yang tidak setanding pun dengan Rasul, Nabi, sahabat dan para solihin terdahulu sudah cukup untuk membuatkan kita sedar diri dan mengaku kekurangan kita. Jadi untuk saat ini dan seterusnya, marilah kita sama-sama jangan pertikai apa yang ALLAH berikan dan datangkan pada kita. Sekiranya kita perlu memilih maka seharusnya kita meminta petunjuk dari ALLAH. Setelah itu, andai pilihan itu masih belum membuatkan kita gembira, berlapang dadalah. Mungkin hikmahnya belum terzahir. Hanya kita yang jahil dan kerdil ini belum dapat memahami hakikat dan makrifat yang sememangnya menjadi hak milik mutlak ALLAH, Tuhan yang maha kuasa.

Pertamanya…..dan selamanya kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Tuhan semesta alam. Yang telah menyusun segala-galanya dengan teratur dan penuh dengan kesempurnaan tetapi tangan-tangan manusialah yang menghancurkannya dan juga sering mengambil jalan bermusuh-musuhan di atas muka bumi ini. Ya ALLAH, ya Rahman Tuhan yang Maha Pemurah, Engkau mengetahui apa yang tersingkap dan apa yang tersirat. Engkau lebih mengetahui apa yang tersembunyi di setiap sudut dan sanubari hamba-hambaMU. Wahai Tuhan yang memberikan daya dan kuasa kepada hamba-hamba yang lemah sehingga hamba-hambaMU terkadang begitu angkuh dengan daya yang ada pada mereka hingga terlupa akan kekuasaan yang lebih agung. Ya Rahim, Tuhan yang memberikan rezeki yang melimpah-limpah sehingga ada hamba-hambaMU yang tidak pandai bersyukur bahkan tidak pernah puas dengan apa yang telah dimiliki sedangkan tiada suatupun milik mereka. Semuanya adalah milikMU semuanya. Ya Tuhan, yang memperjalankan aturan seluruh cakerawala dengan penuh kebijaksanaan dan di situlah akan ditemui kehebatan dan keagunganMU pada setiap penciptaan yang ada.

Hamba merintih ya ALLAH, pada setiap kekurangan hamba. Pada setiap kekhilafan yang telah hamba lakukan dalam sedar mahupun tidak. Hamba sentiasa ingin kembali padaMU ya ALLAH. Setelah hamba renungkan betapa jauhnya hamba ini……dekatkan hamba padaMU, pada jalanMU, pada mereka-mereka yang mencintaiMU. Jauhkan hamba daripada mereka-mereka yang jauh denganMU, yang sentiasa mencuba untuk menyesatkan hamba-hambaMU. Ya Karim, Tuhan yang Maha Agung, dengarkanlah rintihan hamba ini. Biar sekuat manapun cubaan yang Engkau berikan kentalkan jiwa hamba, kembalikan hamba dalam redhaMU.

Dan hamba pohon ya ALLAH lapangkan hati hamba dalam menghadapi segala cubaan di dunia ini. Kuatkan kaki hamba dalam melangkah. Jauhkan hati hamba daripada sikap berkeluh kesah. Hamba pohon agar tidak dibiarkan sesaat dalam hamba menentukan jalan hidup ini…….